
TAMBUNAN – Kebolehan Tambunan dalam melaksanakan pembangunan terancang menjadikannya daerah yang wajar dicontohi oleh daerah lain di negeri ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman berkata, pencapaian 100 peratus daerah itu dari segi penyediaan kemudahan asas terutama bekalan elektrik dan air di semua kampung merupakan kejayaan membanggakan.
“Kerajaan negeri amat kagum dengan pembangunan dan peningkatan kemudahan asas di daerah Tambunan seperti mana dalam taklimat yang diberikan oleh Pegawai Daerahnya (Thomas Logijin),” katanya selepas menghadiri taklimat pembangunan daerah Tambunan dan Keningau, di sini hari ini.
Taklimat itu disampaikan oleh Pegawai Daerah Tambunan, Thomas Logijin manakala Keningau oleh Pegawai Daerahnya, Yusof Osman.
Musa berkata, taklimat tersebut yang meliputi pelbagai perkara seperti pembangunan, isu, cabaran, usaha pembasmian kemiskinan, tanah, kemudahan asas dan keperluan lain, penting bagi membolehkan kerajaan mengetahui perkembangan setiap daerah di negeri ini.
Jelas beliau lagi, pihaknya akan mengadakan lawatan kerja ke seluruh daerah di negeri ini bermula di Tambunan dan Keningau.
Dalam lawatan kerja ke Tambunan, beliau yang diiringi Timbalannya, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan turut melawat Air Terjun Mahua dan Rumah Anak Yatim Tambunan.
0 comments:
Post a Comment